Monday 29 May 2017

Review Buku Ini Sekolah Kita

Baru baru ini ada PBAKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur)

Ya. Dua tahun sebelum ini aku tak pernah tahu pun tentang kewujudan program ini. Nampak sangat, walau aku menjunjung sifat suka membaca, banyak lagi lubuk lubuk yang aku tak tahu pun wujud dan ada.

Pesta Buku adalah antara tempat di mana pameran pameran buku oleh penerbit dan penulis tempatan berhimpun mempamerkan hasil karya dan terbitan mereka. Kemahiran menulis aku, walau telah belajar menulis dengan ejaan penuh sekarang ini, masih sangat sangat jauh nak dibandingkan dengan penulis sedia ada. Hehe. Malu jika aku terbitkan buku dengan gaya penulisan sembrono aku yang hanya mengikut naluri. Tulis tanpa berpandu dan arah tuju.

Yang aku nak ceritakan ialah tentang sebuah buku ini. Buku yang menangkap mataku dan memanggil manggil untuk aku beli. Mungkin ceritanya dekat dengan kehidupan seharian aku yang sedang bergelumang dengan dunia pendidikan secara tidak rasmi di studio kecil aku ini. Mana tahu, ada pengajaran yang dapat aku kutip dengan hanya sedikit bayaran tanpa perlu terbang ke Jordan menjadi sukarelawan di sekolah percuma seperti para penulis ini. Ya. Aku jatuh cinta dengan tajuknya lalu aku pesan buku ini dan sebaik sahaja sampai, aku hanya habiskan masa selama 2 hari untuk selesaikan pembacaanku.

Buku ini bersifat terlalu peribadi pada pandangan kasar aku. Cerita yang dilakar didalamnya membawa aku bersama turut berada bersama para penulis yang setiap hari menghadapi pelbagai cabaran sebagai sukarelawan di sana. Betapa mencabarnya apabila kita ingin lakukan kebaikan yang sedikit luar daripada kebiasaan. 

Ya. Perasaan yang sama aku turut rasai di sini bersama beberapa rakan dalam program Klass of Hope kami melalui kelab Gooddeeds. Tekanan sekeliling, ketidakcukupan dana, masalah latar belakang keluarga kepada para pelajar yang dibantu, kerjasama guru - guru sekolah dan ibu bapa serta kekangan masa sukarelawan, semuanya bercampur aduk menjadi asam garam yang kadangkala membawa kepada bebal yang tidak berkesudahan. 

Jika mahu bercakap tentang erti sabar, ikhlas dan pembersihan hati, melalui buku ini aku merasa yakin bahawa jalan yang aku pilih ini adalah turut dirasai orang lain juga. Lalu aku merasa lega kerana rencah kehidupan aku dan mereka hampir sama dalam cara yang berbeza. Mana mungkin aku berhenti kerana sedikit ujian sekecil anak tetapi mereka yang masih muda dan bergelar pelajar mampu menanggung cabaran yang lebih besar di luar negara menjalankan amanah yang tiada siapa mahu pandang dan hargai kerana yang diperjuangkan adalah sebuah pendidikan. Pendidikan tanpa sebarang jaminan mampu memberikan masa depan kepada anak anak jalanan akibat mangsa perang di syria. 

Mahu belajar bersyukur apabila kau hampir mahu tersungkur memperjuangkan isu pendidikan di kalangan anak anak yang dilabel tidak punyai harapan dalam arus perdana pendidikan? Kau beli dan baca buku ini kemudian kau hadamkan. Kau pasti akan jumpa sesuatu yang kau rasakan kepuasan tanpa batasan apabila kau dorong diri kau untuk terus berjuang sehingga titisan terakhir usaha kau yang tak berbalas dengan kebaikan. 

Buku ini inspirasi. Buku ini membawa semangat aku terbang tinggi. Mendorong aku untuk terus berusaha lagi. 


No comments:

Post a Comment