Monday 29 May 2017

Kawan kawan itu adalah tulang belakang

Dari kiri : Sya (berkaca mata), aku di tengah dan Kak Nisha yang comel (bertudung bunga bunga)


Sejak setahun lalu, secara seriusnya aku telah berkenalan dengan sekelompok manusia yang membuatkan aku tidak rasa seperti makhluk asing dalam dunia ni (akhirnya). Ada Kak Ija, yang rajin mendedikasikan dirinya dengan kerja kerja kebajikan sepenuh masa, hasil pengalaman lama beliau pernah bekerja di salah sebuah pertubuhan amal sebelum balik ke kampung halaman dan menjaga ibunya kini.

Ada Sya, si comel yang pernah satu sekolah dengan aku zaman sekolah rendah dulu (tapi aku dah lupa sebab sekejap saja dia bersekolah di situ. Hehe), seorang doktor mata yang sangat sabar dan tak pernah aku nampak dia tinggikan suara dalam apa jua keadaan. Ada Kak Nisha dan Kak Syikin, yang sudah lama aku kenal sejak 2010 yang lalu melalui facebook membawa kepada perkenalan yang berkekalan sampai sekarang dan ada Kak Joe serta suaminya Abang Mi yang betul betul positif serta sangat komited apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

Kami berhimpun dalam satu kelompok kecil melalui program FMAS (Free Market Alor Setar) yang pertama kalinya dianjurkan oleh kumpulan kami yang tak berapa berkenalan sebelum ini di Flat Alor Malai, Febuari 2016 lalu. Dari situ kami berkenalan dan akhirnya membawa kepada persahabatan sampai sekarang (syukur ya Tuhan).

Melalui mereka, aku belajar pelbagai perkara. Kau berhubungan dengan manusia bukan sekadar kerana kau mahu minta tolong mereka, tetapi juga kerana mereka mampu mengajar kau erti kehidupan melalui pengalaman yang mereka bawa. Sungguh, aku perhatikan tidak seorang pun di kalangan mereka merungut dengan ujian yang dihadapi dalam kehidupan peribadi masing masing serta masih mampu beri komitmen dengan kerja kerja kebajikan yang kami lakukan walau tanpa sebarang bayaran. Kau mahu cerita bab masalah? Mereka ini orang orang yang selalu ajar aku supaya tidak merungut dalam setiap keadaan. Aku sentiasa lihat senyuman di wajah Kak Joe dan suaminya yang setiap kali program amal kami anjurkan, tak pernah gagal membantu di kaunter makanan dan minuman.

Aku selalu lihat kerajinan Abang Zul dan Kak Nisha yang sentiasa bantu uruskan barang barang bantuan, tak pernah gagal memeriahkan keadaan dan membawa anak anak mereka sekali membantu kami membungkus barang barang. Aku belajar erti mengawal kemarahan melalui keceriaan yang Sya sentiasa pamerkan setiap kali dia komited mahu membantu walau tak sedikit dia disusahkan dengan susunan pergerakan program yang kadang kala terpaksa diubah akhir akhir waktu akibat beberapa situasi yang tak dapat dielakkan.

Aku belajar erti fokus kepada kejayaan dan disiplin diri yang tinggi dalam mencapai impian melalui perjuangan Kak Syikin dalam perniagaannya sehingga mampu memberikan manfaat kepada orang sekeliling sekarang ini. Aku sangat kagum dengan manusia yang Tuhan beri kepada aku sebagai kawan di sekeliling yang menjadi benteng kekuatan untuk aku teruskan kehidupan.

Kawan kawan, kalianlah tulang belakang yang tak pernah mengecewakan. Aku tak akan pernah lupa doakan supaya segala ujian yang kalian hadapi di dunia ini sentiasa diberikan limpahan pahala daripada Maha Pencipta serta balasan syurga sebagai ganjaran.

No comments:

Post a Comment