Monday 29 May 2017

Ketabahan dalam diri hanyalah pinjaman

Tiga beradik ini sedang menunggu feri selepas berjalan kaki daripada stesyen komuter 

Aku belajar macam macam daripada anak anak aku sebenarnya. Dulu, zaman zaman aku belum masuk fasa matang dan guna kepala aku untuk berfikir, aku tak pernah terdetik nak belajar erti tabah seperti mana anak anak aku hadapi dalam hidup mereka.

Ok. Part ni memang buat aku rasa selalu sebak.

Pengalaman hidup membuatkan aku jadi keras. Mungkin lebih bertambah degil dan tidak lagi mahu berkompromi dengan apa jua halangan. Aku sendiri sedar kebelakangan ini sebenarnya aku lebih sukar bertoleransi dalam pelbagai perkara. Yang aku tak setuju, samada aku lawan atau diam terus, elak daripada bergaduh. Yang aku tak puas hati, jika orang tersebut adalah orang yang masih aku tidak putus asa mahu sayang dan hadap setiap hari, aku akan himpun dan luah kembali isi hati aku. Jarang aku simpan walau secara emosinya aku telan remuk itu dalam diri aku.

Apabila aku 'marking' satu satu perkara atau individu yang buat aku tak selesa, samada aku akan terus buang daripada diri aku atau aku akan buat tak kisah. Sebab aku tak mahu tambah dos benci dalam diri aku bergelut mahu mereka terima aku seadanya. Sedangkan aku sendiri tidak mampu terima sifat dan sikap mereka yang tidak semena mena membuat aku rasa jengkel pada persepsi aku.

Tapi apabila bercakap bab anak anak, Perangai aku yang degil, susah mendengar sebarang nasihat (sebab aku 'block' diri aku daripada menerima) malah sikap sikap buruk aku yang kuat mengamuk dan sangat mudah sensisitif dengan persepsi orang lain, semua itu akan 'tone down' (terkawal) dengan mengenang jiwa halus anak anak aku yang kental.

Dalam diam, setiap hari Tuhan beri aku pengajaran agar belajar melalui 3 anak syurga ini. Mereka sangat sedikit mengeluh, kurang bebal walau sedang marah serta selalu menerima dengan hati terbuka setiap apa jua situasi yang mereka hadapi. Mereka boleh berjalan kaki dalam kepanasan sejauh hampir 1 kilometer mendapatkan pengangkutan awam kerana kenderaan yang ada tidak selesa untuk bawa mereka berjalan jauh. Mereka boleh tidak bersungut penat walau kepanasan dan berpeluh berjalan. Mereka juga senang bergembira dan melepaskan penat hanya dengan diberi upah air sejuk sebagai penghilang dahaga. Masih mampu berjenaka dan senyum walau mungkin dalam hati mereka mungkin terdetik kenapa kehidupan mereka tidak selesa anak anak lain seusia mereka.

Ok. Mungkin aku yang beremosi lebih sebab tak pernah buat anak anak aku macamtu sebelum ini. Mereka selalu kena tempias susah yang aku hadapi dalam hidup mereka kerana tak punyai pilihan lain. Tak ada seorang ibu pun yang mahu anak anak mereka hadapi ujian hidup yang mereka hadapi. Jika boleh, mahu telan sendirian tapi tak dapat tidak, sedikit sebanyak akan mereka hadapi kerana kehidupan seharian mereka adalah bersama dengan aku.

Sungguh. Jika ada yang lihat aku kuat, kental dan tabah (bersama pakej degil dan susah menerima sebarang nasihat jika datang dengan cara yang tidak kena kaedahnya), sebenarnya aku meminjam tabah daripada 3 anak syurga aku yang mengajar aku supaya kuat berusaha walau apa jua keadaan menimpa. Kau cuba buka mata dan lihat dunia sekeliling. Belajar daripadanya termasuk daripada anak anak kau sendiri. Kau pasti akan jumpa sebab kenapa kau masih mampu bertahan dalam dunia ini sementara menunggu mati.

Kawan kawan itu adalah tulang belakang

Dari kiri : Sya (berkaca mata), aku di tengah dan Kak Nisha yang comel (bertudung bunga bunga)


Sejak setahun lalu, secara seriusnya aku telah berkenalan dengan sekelompok manusia yang membuatkan aku tidak rasa seperti makhluk asing dalam dunia ni (akhirnya). Ada Kak Ija, yang rajin mendedikasikan dirinya dengan kerja kerja kebajikan sepenuh masa, hasil pengalaman lama beliau pernah bekerja di salah sebuah pertubuhan amal sebelum balik ke kampung halaman dan menjaga ibunya kini.

Ada Sya, si comel yang pernah satu sekolah dengan aku zaman sekolah rendah dulu (tapi aku dah lupa sebab sekejap saja dia bersekolah di situ. Hehe), seorang doktor mata yang sangat sabar dan tak pernah aku nampak dia tinggikan suara dalam apa jua keadaan. Ada Kak Nisha dan Kak Syikin, yang sudah lama aku kenal sejak 2010 yang lalu melalui facebook membawa kepada perkenalan yang berkekalan sampai sekarang dan ada Kak Joe serta suaminya Abang Mi yang betul betul positif serta sangat komited apabila melakukan sesuatu pekerjaan.

Kami berhimpun dalam satu kelompok kecil melalui program FMAS (Free Market Alor Setar) yang pertama kalinya dianjurkan oleh kumpulan kami yang tak berapa berkenalan sebelum ini di Flat Alor Malai, Febuari 2016 lalu. Dari situ kami berkenalan dan akhirnya membawa kepada persahabatan sampai sekarang (syukur ya Tuhan).

Melalui mereka, aku belajar pelbagai perkara. Kau berhubungan dengan manusia bukan sekadar kerana kau mahu minta tolong mereka, tetapi juga kerana mereka mampu mengajar kau erti kehidupan melalui pengalaman yang mereka bawa. Sungguh, aku perhatikan tidak seorang pun di kalangan mereka merungut dengan ujian yang dihadapi dalam kehidupan peribadi masing masing serta masih mampu beri komitmen dengan kerja kerja kebajikan yang kami lakukan walau tanpa sebarang bayaran. Kau mahu cerita bab masalah? Mereka ini orang orang yang selalu ajar aku supaya tidak merungut dalam setiap keadaan. Aku sentiasa lihat senyuman di wajah Kak Joe dan suaminya yang setiap kali program amal kami anjurkan, tak pernah gagal membantu di kaunter makanan dan minuman.

Aku selalu lihat kerajinan Abang Zul dan Kak Nisha yang sentiasa bantu uruskan barang barang bantuan, tak pernah gagal memeriahkan keadaan dan membawa anak anak mereka sekali membantu kami membungkus barang barang. Aku belajar erti mengawal kemarahan melalui keceriaan yang Sya sentiasa pamerkan setiap kali dia komited mahu membantu walau tak sedikit dia disusahkan dengan susunan pergerakan program yang kadang kala terpaksa diubah akhir akhir waktu akibat beberapa situasi yang tak dapat dielakkan.

Aku belajar erti fokus kepada kejayaan dan disiplin diri yang tinggi dalam mencapai impian melalui perjuangan Kak Syikin dalam perniagaannya sehingga mampu memberikan manfaat kepada orang sekeliling sekarang ini. Aku sangat kagum dengan manusia yang Tuhan beri kepada aku sebagai kawan di sekeliling yang menjadi benteng kekuatan untuk aku teruskan kehidupan.

Kawan kawan, kalianlah tulang belakang yang tak pernah mengecewakan. Aku tak akan pernah lupa doakan supaya segala ujian yang kalian hadapi di dunia ini sentiasa diberikan limpahan pahala daripada Maha Pencipta serta balasan syurga sebagai ganjaran.

Parent- thing

Bukan senang nak jadi ibu bapa ni. Serius. Aku, sampai sekarang, anak dah 3, tak ada satu anak pun yang buat aku rasa senang jadi ibu. Daripada mereka celik ke dunia ni sampai sekarang. Lepas satu, yang kau taubat kau dah serik, kemudian beranak anak kedua, sedar sedar dah masuk anak ketiga. Haha!

Begitulah. Kau beranak dan ada anak ja, secara teknikalnya kau jadilah seorang ibu atau bapa. Atau kedua duanya jika kau saja yang anak kau ada.

Bacalah kitab setebal manapun bab ilmu keibu bapaan ni, bagi aku parenting is still parent- thing. Hal - hal yang berkisar bab bab kau dan anak anak kau yang terpaksa kau hadap setiap hari selagi kau jadi parent dan mereka jadi anak, walau esok lusa mereka dah besar dan beranak pinak. Sakit beranak tu satu hal. Mengandung, mabuk, layan mengidam (haha) itu pun satu hal. Kes kes setiap mak bapak ni sentiasa unik antara satu sama lain dan aku pun tak terkecuali dalam hal tersebut.

Cakap bab impian, nak besarkan anak sampai jadi orang berguna, aku rasa semua ibu bapa pun bergelut isu yang sama : which and which harus dibuat bagi memastikan anak anak membesar dengan sempurna. Sampailah satu masa aku rasa thats it. Aku rasa lebih tenang jika aku pilih untuk go with the flow saja. Apa yang anak anak aku tunjuk melalui kebolehan yang mereka ada, itulah yang aku akan dorong dan gilap perlahan lahan.

Ada anak anak yang dah besar memang best. Kau dah tak perlu bangun malam siapkan susu. Hehe.

Mengamuk. Perangai anak bongsu yang buat aku geram selalu.

Nak besarkan anak anak, selain kau perlukan ilmu, dan keupayaan fizikal serta mental, paling kau perlukan ialah sifat tidak pernah putus asa dalam diri kau serta selalulah belajar perbaiki diri. Jangan jemu baiki diri sebagai parent, inshaAllah anak anak kau pun akan turut terikut baiki diri mereka setiap hari sebagai anak. Semudah itu saja sebenarnya. Kau dapat apa kau buat. Dan kadang kala kau mendapat apa yang kau langsung tak buat. Haha. Sabarlah. Tuhan tahu kemampuan kau dalam membesarkan mereka. 

Penat?

Selamat datang ke dunia realiti. Zaman kau bercinta bagai nak rak, lepas tu kahwin, kau jangan lupa satu lagi bahagian yang datang dalam hidup kau dan takkan hilang sampai bila bila ialah : anak. Selepas kau jadi ibu bapa, kau akan hadap segala macam karenah yang tak ada satu formula tertentu pun terbukti berjaya. Semuanya ialah trial and error then improvise. Begitulah dalam kehidupan seharian setelah bergelar ibu bapa. 

Satu lagi bahagian kau jangan lupa ialah pada waktu kau mulai menjadi ibu bapa, kau juga akan mulai membayar kifarah kau sebagai anak satu ketika dulu kepada ibu bapa kau juga. Jadi, bina hubungan yang kukuh dengan ibu bapa kau dan banyakkanlah mengejar redha mereka. Mudah hidup kau sebagai anak, mudahlah kau juga besarkan anak anak kau hendaknya. 


Review Buku Ini Sekolah Kita

Baru baru ini ada PBAKL (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur)

Ya. Dua tahun sebelum ini aku tak pernah tahu pun tentang kewujudan program ini. Nampak sangat, walau aku menjunjung sifat suka membaca, banyak lagi lubuk lubuk yang aku tak tahu pun wujud dan ada.

Pesta Buku adalah antara tempat di mana pameran pameran buku oleh penerbit dan penulis tempatan berhimpun mempamerkan hasil karya dan terbitan mereka. Kemahiran menulis aku, walau telah belajar menulis dengan ejaan penuh sekarang ini, masih sangat sangat jauh nak dibandingkan dengan penulis sedia ada. Hehe. Malu jika aku terbitkan buku dengan gaya penulisan sembrono aku yang hanya mengikut naluri. Tulis tanpa berpandu dan arah tuju.

Yang aku nak ceritakan ialah tentang sebuah buku ini. Buku yang menangkap mataku dan memanggil manggil untuk aku beli. Mungkin ceritanya dekat dengan kehidupan seharian aku yang sedang bergelumang dengan dunia pendidikan secara tidak rasmi di studio kecil aku ini. Mana tahu, ada pengajaran yang dapat aku kutip dengan hanya sedikit bayaran tanpa perlu terbang ke Jordan menjadi sukarelawan di sekolah percuma seperti para penulis ini. Ya. Aku jatuh cinta dengan tajuknya lalu aku pesan buku ini dan sebaik sahaja sampai, aku hanya habiskan masa selama 2 hari untuk selesaikan pembacaanku.

Buku ini bersifat terlalu peribadi pada pandangan kasar aku. Cerita yang dilakar didalamnya membawa aku bersama turut berada bersama para penulis yang setiap hari menghadapi pelbagai cabaran sebagai sukarelawan di sana. Betapa mencabarnya apabila kita ingin lakukan kebaikan yang sedikit luar daripada kebiasaan. 

Ya. Perasaan yang sama aku turut rasai di sini bersama beberapa rakan dalam program Klass of Hope kami melalui kelab Gooddeeds. Tekanan sekeliling, ketidakcukupan dana, masalah latar belakang keluarga kepada para pelajar yang dibantu, kerjasama guru - guru sekolah dan ibu bapa serta kekangan masa sukarelawan, semuanya bercampur aduk menjadi asam garam yang kadangkala membawa kepada bebal yang tidak berkesudahan. 

Jika mahu bercakap tentang erti sabar, ikhlas dan pembersihan hati, melalui buku ini aku merasa yakin bahawa jalan yang aku pilih ini adalah turut dirasai orang lain juga. Lalu aku merasa lega kerana rencah kehidupan aku dan mereka hampir sama dalam cara yang berbeza. Mana mungkin aku berhenti kerana sedikit ujian sekecil anak tetapi mereka yang masih muda dan bergelar pelajar mampu menanggung cabaran yang lebih besar di luar negara menjalankan amanah yang tiada siapa mahu pandang dan hargai kerana yang diperjuangkan adalah sebuah pendidikan. Pendidikan tanpa sebarang jaminan mampu memberikan masa depan kepada anak anak jalanan akibat mangsa perang di syria. 

Mahu belajar bersyukur apabila kau hampir mahu tersungkur memperjuangkan isu pendidikan di kalangan anak anak yang dilabel tidak punyai harapan dalam arus perdana pendidikan? Kau beli dan baca buku ini kemudian kau hadamkan. Kau pasti akan jumpa sesuatu yang kau rasakan kepuasan tanpa batasan apabila kau dorong diri kau untuk terus berjuang sehingga titisan terakhir usaha kau yang tak berbalas dengan kebaikan. 

Buku ini inspirasi. Buku ini membawa semangat aku terbang tinggi. Mendorong aku untuk terus berusaha lagi.