Wednesday 13 December 2017

Khasiat Teh Hijau Kepada Tubuh Badan



Amaran : bacaan ini agak panjang, jadi saya harap kalian bertabah dalam menghabiskan bacaan. Anggap saja perkongsian ini adalah untuk kebaikan bersama.

Selama ini saya memang minum teh hijau, cuma bukan penggemarnya. Nescafe, adalah pilihan utama saya untuk sarapan pagi, ataupun milo. Sekiranya kedua dua jenis minuman ini tidak ada, saya akan minum kopi kampung.
Sebagai orang yang punyai masalah kesihatan seperti saya, dan masih ada 6 kilogram tegar dalam badan perlu ditebas, pelbagai perincian saya perlu lihat secara serius dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan saya. Sudah tentu, untuk beribadah, adalah tujuan utama. Lagi pula, saya perlu sihat. Demi anak anak saya. Jika saya tiada, siapa pula lah yang akan dibebankan untuk pelihara mereka, bukan? Hehe. Jadi, perkongsian ini, tidaklah berniat mahu mengajar-ajar kalian. Sekadar membuka mata agar kalian juga melakukan pilihan yang lebih baik di masa hadapan dalam subjek makanan dan penjagaan kesihatan.
Waktu pagi, ialah waktu kritikal untuk tenaga segera. Bagi pemakan nasi seperti saya, saya gemar ambil nasi waktu pagi – kemudiannya disulam air manis berkafein pada waktu snek. Haha. Bahaya, bukan? Justeru, jika kalian perlukan energy booster to replace the bad drink intake, saya amat cadangkan minum teh hijau. Boleh saja beli di mana mana pasaraya, pelbagai jenama.
Teh hijau merupakan minuman teh yang paling berkhasiat jika dibandingkan dengan minuman teh-teh yang lain. Ia mengandungi banyak antioksida dan nutrisi yang boleh memberikan banyak manfaat kepada tubuh badan. Ini termasuklah meransang perkembangan otak, mengurangkan lemak dalam badan, mengurangkan risiko kanser dan banyak-banyak lagi.

Berikut ialah kebaikan teh hijau :

1. Mengandungi Banyak Bahan Bioaktif
Teh hijau bukan sekadar minuman biasa. Ia mengandungi banyak bahan bioaktif yang asalnya terdapat pada daun teh itu sendiri – yang mengandungi banyak nutrisi kepada badan. Ia dipenuhi dengan polifenol (polyphenols) seperti flavonoid dan catechin, yang mana bertindak sebagai antioksida yang kuat. Antioksida boleh mengurangkan perbentukan radikal bebas di dalam badan, melindungi sel dan molekul daripada kerosakan. Radikal bebas merupakan bahan yang memainkan peranan di dalam proses penuaan dan pembawa kepada pelbagai jenis penyakit. Salah satu bahan yang kuat di dalam teh hijau adalah Epigallocatechin Gallate (EGCG), yang dikaji boleh merawat pelbagai jenis penyakit.
Disamping itu, kandungan mineral yang terdapat di dalam teh hijau turut memainkan peranan kepada kesihatan tubuh badan.
Anda dinasihatkan agar memilih teh hijau yang lebih berkualiti jika ingin mendapat semua khasiat dan manfaatnya. Teh hijau yang berkualiti rendah (biasanya lebih murah) mungkin mengandungi kadar fluorida yang berlebihan.

2. Menajamkan Daya Fikiran
Teh hijau bukan sahaja boleh membuatkan anda terjaga, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan otak dan daya fikiran.Bahan aktif teh hijau yang memainkan peranan dalam perkara ini adalah, tidak lain tidak bukan: Kafein.
Kafein merupakan sejenis bahan peransang dan biasanya dijumpai di dalam kopi. Teh hijau juga mengandungi bahan ini, namun tidak sebanyak kopi. Tetapi cukup untuk memberikan kesan. Penggunaan kafein dan kesannya kepada otak sudah lama dikaji – hasilnya adalah ia boleh meningkatkan daya otak, memperbaiki mood dan daya ingatan.
Tambahan lagi, teh hijau bukan sekadar mengandungi kafein. Ia juga mempunyai amino asid L-theanine, yang boleh meningkatkan aktiviti pada sistem saraf. Pengambilan kedua-dua bahan ini, kafein dan L-theanine, boleh meningkatkan daya fungsi otak dan menajamkan minda.
Bahkan terdapat laporan yang menyatakan bahawa orang mendapat tenaga yang lebih banyak dan produktif jika minum teh hijau berbanding dengan kopi.

3. Meningkatkan Pembakaran Lemak
Hal ini kerana teh hijau sudah terbukti boleh meningkatkan kadar pembakaran lemak badan dan kadar metabolik. Berikut adalah serba sedikit hasil kajian:
i.Teh hijau meningkatkan kadar penggunaan tenaga sebanyak 4%.
ii.Teh hijau meningkatkan kadar oksidasi lemak sebanyak 17% (hasil boleh berubah mengikut individu)
Kandungan kafein, yang dinyatakan di atas juga memainkan peranan di dalam meningkatkan pergerakan fizikal dan otot. Satu kajian mendapati bahawa kafein boleh meningkatkan prestasi atlet sebanyak 11-12%.

4. Mengurangkan Risiko Kanser
Kanser berlaku disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Ia merupakan salah satu penyebab kematian diseluruh dunia. Dan kita semua sedia maklum bahawa salah satu faktor kepada kanser adalah radikal bebas. Manakala antioksida adalah bahan yang dikatakan boleh mencegahnya.
Teh hijau merupakan salah satu sumber terbaik kepada antioksida, oleh itu masuk akallah kalau kita menyatakan bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko kanser.
Kanser Payudara: Satu kajian mendapati bahawa wanita yang meminum teh hijau boleh mengurangkan risiko daripada mendapat kanser payudara sebanyak 22%.
Kanser Prostat: Satu kajian mendapati lelaki yang meminum teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat prostat kanser sebanyak 48%.
Kanser Kolon: Satu kajian ke atas 69,710 wanita di China mendapati peminum teh hijua boleh kurangkan risiko mendapat kanser kolon sebanyak 57%.

5. Mencegah Daripada Penyakit Alzheimer dan Parkinson
Bukan sahaja teh hijau boleh meningkatkan daya fikiran anda dalam jangka masa pendek, malah juga melindunginya daripada “tua“. Penyakit Alzheimer merupakan satu jenis penyakit saraf/neuro yang biasa dialami oleh orang berumur. Penyakit ini boleh membawa kepada demensia.
Penyakit Parkinson pula merupakan sejenis penyakit saraf, ia melibatkan kegagalan urat saraf menghasilkan dopamin di dalam otak. Kajian membuktikan bahawa bahan catechin di dalam teh hijau boleh melindungi sistem saraf. Lantas mengurangkan risiko mendapat mana-mana penyakit yang disebut.

6. Teh Hijau Boleh Membunuh Bakteria, Memperbaiki Kesihatan Mulut & Gigi
Selain daripada menjaga sistem saraf dan otak, bahan catechin turut memberikan manfaat dari segi biologi.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa bahan tersebut boleh membunuh bakteria dan virus seperti influenza – maka mengurangkan risiko daripada dijangkiti.
Kajian yang lain pula mendapati bahawa catechin di dalam teh hijau boleh menghalang pertumbuhan satu jenis bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus mutans. Bakteria ini boleh menyebabkan perbentukan plak dan membawa kepada masalah kaviti serta pereputan gigi.
Teh hijau pada masa yang sama, boleh mengurangkan masalah nafas berbau.

7. Mengurangkan Risiko Kencing Manis Tahap 2
Kencing manis tahap 2 merupakan penyakit yang pernah mencapai peringkat wabak pada seketika waktu dahulu. Dan sekarang, hampir 300 juta orang menghidap penyakit kencing manis di seluruh dunia.
Kencing manis, ataupun juga dikenali sebagai diabetes melibatkan kadar gula dalam badan melebihi kadar insulin yang dihasilkan oleh badan atau ketidakupayaan badan menghasilkan insulin.
Kajian telah menunjukkan bahawa pengamalan teh hijau boleh meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan kadar gula dalam darah.
Satu kajian lain yang dijalankan di Jepun pula mendapati bahawa orang yang meminum teh hijau mempunyai risiko sebanyak 42% lebih rendah daripada orang yang tidak meminumnya.

8. Mengurangkan Risiko Masalah Jantung
Penyakit jantung, atau penyakit kardiovaskular merangkumi sakit jantung dan strok merupakan salah satu penyebab kematian di dunia. Dan kajian-kajian mendapati bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko daripada mendapatnya.
Teh hijau boleh membekalkan kadar antioksida yang banyak kepada saluran darah, yang mana boleh mengelakkan kolestrol LDL (kolestrol baik) daripada teroksida.

9. Membantu Menurunkan Berat Badan + Cegah Obese
Memandangkan teh hijau boleh meningkatkan kadar metabolik badan dalam jangka masa yang singkat, ia masuk akal kalau anda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengurangkan berat badan.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan teh hijau mengurangkan lemak dalam badan, terutama pada bahagian perut.
Walaupun begitu, anda perlu ingat bahawa banyak faktor perlu dititikberatkan dalam hal ini. Ia tidak bermakna anda minum teh hijau dan secara automatik menjadi kurus – tidak. Teh hijau hanya boleh membantu anda mempercepatkan sesetengah proses pembakaran lemak.

10. Boleh Panjangkan Umur
Kematian adalah satu kepastian. Kematian adalah di tangan Tuhan. Itu adalah dua perkara yang kita semua tidak boleh elak.
Cuma cepat atau lambat sesuatu kematian itu juga bergantung ke atas bagaimana kita menjalani kehidupan kita, bagaimana kita menjaga pemakanan kita.
Dengan kenyataan bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat pelbagai penyakit-penyakit kronik di atas, kita boleh simpulkan bahawa pengamalan teh hijau secara tidak lansung boleh memanjangkan umur kita.
Pengalaman sendiri, sebelum ni liat betul nak minum teh hijau sebab rasanya agak payau. Tips saya, minumlah minuman ini ketika masih panas suam, kerana kurang rasa payaunya. Ada rakan rakan berikan tips perah lemon dan letak sedikit madu dalam teh tersebut jika mahu sedikit perasa.
Saya? Setakat ini masih minum secara biasa, tanpa sebarang tambahan.
Untuk berjimat, saya akan ulang kitar semula uncang teh pada tengah harinya, kemudian bawa pulang ke rumah untuk dibuat skrub badan dan muka. Haha! Jimat betul macamni.
Jika kalian rasa bermanfaat, boleh simpan tips ini dan mulai perlahan lahan bertukar kepada alternatif yang lebih menyihatkan tubuh badan.
(nota : terima kasih kerana sabar membaca tulisan yang panjang berjela ini)

No comments:

Post a Comment