Monday 25 September 2017

Emosi

Saya juga adalah orang yang mudah tewas dengan emosi marah. Sungguh. Jika terlampau panas hati, saya akan bangkit dan berlalu daripada kawasan atau situasi yang membuatkan saya tegang. Masalahnya, dengan iman senipis bawang sekiranya ada yang tak habis habis buat provokasi, kita akan terlepas laku juga kadangkala.

Tertinggikan suara, tercakap bahasa kesat, terungkitkan sesuatu, termenangis, tercampak barang dan sebagainya. Sebagai manusia biasa, saya tahu tahap mana kemarahan itu akan membawa saya. Justeru, apabila sudah tak mampu kawal, sebelum saya lakukan perkara buruk, saya akan berlalu pergi.

Sebagai orang yang normal, begitulah yang kita akan buat. Ya. Berlalu pergi keluar daripada sesuatu tempat itu supaya emosi yang tegang akan pulih kembali. Seperti juga manusia waras lain, semua orang akan buat perkara yang sama rasanya. Kita akan beralah dan berlalu pergi. Apabila sudah sejuk, jika ketegangan itu berlaku antara keluarga, pasangan, kawan sejawat atau siapa saja, walau orang yang buat salah, saya lazimnya mengenepikan hal itu dan akan bertolak ansur dengan memujuk mereka kembali.

Walau salah orang lain sekalipun, tetaplah saya beralah jika lihat orang itu masih tidak mahu beralah dengan saya. Semasa emosi memuncak, saya pun kasar juga lalu apabila sudah sejuk, saya banyak fikir tentang salah saya, berbanding salah orang lain kepada saya. Kerana saya rasa lebih baiklah maafkan saja supaya hidup saya kekal gembira berbanding menahan emosi berdendam sampai bila bila. Nak angkat tangan doakan kecelakaan orang yang lukakan kita pun saya tak sampai hati, mana mungkin saya nak berdendam dan membenci.

Begitu jugalah apabila terdengar kisah kawan rakan tak kira siapa pun, saya akan terusik emosi. Sebab saya juga lalui episod diprovokasi malah tindakan saya dipertikai dan saya dihukumi sesedap hati orang yang memandang. Saya bukan tak tahu orang mengata di belakang, tapi, buat buat pekak sahajalah sebab yang menanggung itu tuan empunya badan lebih tahu seksa sakitnya bagaimana adakah sudah tidak tertahan atau mampu ditelan.

Membaca komen komen orang, mengingatkan kepada kisah lama sendiri, yang ramai betul manusia mahu menjadi juri. Seperti saya selalu kata, jika saya sendiri dahulu makan atau tidak, tak diambil peduli, kenapa perlu saya ambil endah dengan pelbagai persepsi mata yang mengeji?
Perlahan lahan, dengan pengalaman, saya yang tidak kuat ini bangun berjalan. Mahu digagahkan juga diri mengutip sisa sisa kekuatan dalam segenap kelemahan. Saya belajar pujuk diri sendiri, belajar berdikari, belajar fahami, dunia ini tempat diuji malah belajar terima Tuhan tidak pernah aniaya hambaNya.

Benar, ada masa masanya kita kalah dengan emosi, namun jangan putus asa baiki diri. Sehinggalah kita mati. Begitu jugalah orang keliling, hidup kalian mungkin bahagia bagai dalam telenovela, janganlah menghukumi orang lain. Membuat komen berunsur mengeji. Jika kita tak bantu rakan rakan yang kesusahan, mulut, kunci diam diam. Sehingga hari ini, beberapa rakan yang bantu saya serta tawarkan bantuan, saya sentiasa ingat dan kenang malah saya selalu doakan mereka moga moga dimurahkan rezeki dan selalu sihat sejahtera.

Akhirnya yang kita mahu, ialah baik baik sahaja semuanya di syurga. Jika yang beri informasi kepada saya tadi pun menggigil walau tak kenal mangsa, saya yang bukan rakan rapat tapi merupakan rakan sejawat turut terkesan. Menggigil satu badan dan terjelepuk mendengar berita sedih tadi.
Menyatakan sabar kepada tuan empunya badan itu mudah dituturkan. Beri tips perundangan, atau komen si fulan kenapa tak buat laporan polis lindungi diri dan sebagainya memang senang. Namun, yang sudah terjadi itu tak mampu kita baiki. Yang akan datang, tawarkanlah mereka bantuan. Jadilah manusia yang tinggi empati, jangan komen sesedap hati malah doakan , itu lebih baik daripada jadi juri.

Kalian,
Marilah kita berhenti saling mengeji , bina empati dan bersifat ehsan lah dalam diri.

Kakak,
Hari ini Tuhan juga uji melalui jentikan emosi

No comments:

Post a Comment