Monday 29 May 2017

Ketabahan dalam diri hanyalah pinjaman

Tiga beradik ini sedang menunggu feri selepas berjalan kaki daripada stesyen komuter 

Aku belajar macam macam daripada anak anak aku sebenarnya. Dulu, zaman zaman aku belum masuk fasa matang dan guna kepala aku untuk berfikir, aku tak pernah terdetik nak belajar erti tabah seperti mana anak anak aku hadapi dalam hidup mereka.

Ok. Part ni memang buat aku rasa selalu sebak.

Pengalaman hidup membuatkan aku jadi keras. Mungkin lebih bertambah degil dan tidak lagi mahu berkompromi dengan apa jua halangan. Aku sendiri sedar kebelakangan ini sebenarnya aku lebih sukar bertoleransi dalam pelbagai perkara. Yang aku tak setuju, samada aku lawan atau diam terus, elak daripada bergaduh. Yang aku tak puas hati, jika orang tersebut adalah orang yang masih aku tidak putus asa mahu sayang dan hadap setiap hari, aku akan himpun dan luah kembali isi hati aku. Jarang aku simpan walau secara emosinya aku telan remuk itu dalam diri aku.

Apabila aku 'marking' satu satu perkara atau individu yang buat aku tak selesa, samada aku akan terus buang daripada diri aku atau aku akan buat tak kisah. Sebab aku tak mahu tambah dos benci dalam diri aku bergelut mahu mereka terima aku seadanya. Sedangkan aku sendiri tidak mampu terima sifat dan sikap mereka yang tidak semena mena membuat aku rasa jengkel pada persepsi aku.

Tapi apabila bercakap bab anak anak, Perangai aku yang degil, susah mendengar sebarang nasihat (sebab aku 'block' diri aku daripada menerima) malah sikap sikap buruk aku yang kuat mengamuk dan sangat mudah sensisitif dengan persepsi orang lain, semua itu akan 'tone down' (terkawal) dengan mengenang jiwa halus anak anak aku yang kental.

Dalam diam, setiap hari Tuhan beri aku pengajaran agar belajar melalui 3 anak syurga ini. Mereka sangat sedikit mengeluh, kurang bebal walau sedang marah serta selalu menerima dengan hati terbuka setiap apa jua situasi yang mereka hadapi. Mereka boleh berjalan kaki dalam kepanasan sejauh hampir 1 kilometer mendapatkan pengangkutan awam kerana kenderaan yang ada tidak selesa untuk bawa mereka berjalan jauh. Mereka boleh tidak bersungut penat walau kepanasan dan berpeluh berjalan. Mereka juga senang bergembira dan melepaskan penat hanya dengan diberi upah air sejuk sebagai penghilang dahaga. Masih mampu berjenaka dan senyum walau mungkin dalam hati mereka mungkin terdetik kenapa kehidupan mereka tidak selesa anak anak lain seusia mereka.

Ok. Mungkin aku yang beremosi lebih sebab tak pernah buat anak anak aku macamtu sebelum ini. Mereka selalu kena tempias susah yang aku hadapi dalam hidup mereka kerana tak punyai pilihan lain. Tak ada seorang ibu pun yang mahu anak anak mereka hadapi ujian hidup yang mereka hadapi. Jika boleh, mahu telan sendirian tapi tak dapat tidak, sedikit sebanyak akan mereka hadapi kerana kehidupan seharian mereka adalah bersama dengan aku.

Sungguh. Jika ada yang lihat aku kuat, kental dan tabah (bersama pakej degil dan susah menerima sebarang nasihat jika datang dengan cara yang tidak kena kaedahnya), sebenarnya aku meminjam tabah daripada 3 anak syurga aku yang mengajar aku supaya kuat berusaha walau apa jua keadaan menimpa. Kau cuba buka mata dan lihat dunia sekeliling. Belajar daripadanya termasuk daripada anak anak kau sendiri. Kau pasti akan jumpa sebab kenapa kau masih mampu bertahan dalam dunia ini sementara menunggu mati.

No comments:

Post a Comment