Wednesday 13 December 2017

Khasiat Teh Hijau Kepada Tubuh Badan



Amaran : bacaan ini agak panjang, jadi saya harap kalian bertabah dalam menghabiskan bacaan. Anggap saja perkongsian ini adalah untuk kebaikan bersama.

Selama ini saya memang minum teh hijau, cuma bukan penggemarnya. Nescafe, adalah pilihan utama saya untuk sarapan pagi, ataupun milo. Sekiranya kedua dua jenis minuman ini tidak ada, saya akan minum kopi kampung.
Sebagai orang yang punyai masalah kesihatan seperti saya, dan masih ada 6 kilogram tegar dalam badan perlu ditebas, pelbagai perincian saya perlu lihat secara serius dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan saya. Sudah tentu, untuk beribadah, adalah tujuan utama. Lagi pula, saya perlu sihat. Demi anak anak saya. Jika saya tiada, siapa pula lah yang akan dibebankan untuk pelihara mereka, bukan? Hehe. Jadi, perkongsian ini, tidaklah berniat mahu mengajar-ajar kalian. Sekadar membuka mata agar kalian juga melakukan pilihan yang lebih baik di masa hadapan dalam subjek makanan dan penjagaan kesihatan.
Waktu pagi, ialah waktu kritikal untuk tenaga segera. Bagi pemakan nasi seperti saya, saya gemar ambil nasi waktu pagi – kemudiannya disulam air manis berkafein pada waktu snek. Haha. Bahaya, bukan? Justeru, jika kalian perlukan energy booster to replace the bad drink intake, saya amat cadangkan minum teh hijau. Boleh saja beli di mana mana pasaraya, pelbagai jenama.
Teh hijau merupakan minuman teh yang paling berkhasiat jika dibandingkan dengan minuman teh-teh yang lain. Ia mengandungi banyak antioksida dan nutrisi yang boleh memberikan banyak manfaat kepada tubuh badan. Ini termasuklah meransang perkembangan otak, mengurangkan lemak dalam badan, mengurangkan risiko kanser dan banyak-banyak lagi.

Berikut ialah kebaikan teh hijau :

1. Mengandungi Banyak Bahan Bioaktif
Teh hijau bukan sekadar minuman biasa. Ia mengandungi banyak bahan bioaktif yang asalnya terdapat pada daun teh itu sendiri – yang mengandungi banyak nutrisi kepada badan. Ia dipenuhi dengan polifenol (polyphenols) seperti flavonoid dan catechin, yang mana bertindak sebagai antioksida yang kuat. Antioksida boleh mengurangkan perbentukan radikal bebas di dalam badan, melindungi sel dan molekul daripada kerosakan. Radikal bebas merupakan bahan yang memainkan peranan di dalam proses penuaan dan pembawa kepada pelbagai jenis penyakit. Salah satu bahan yang kuat di dalam teh hijau adalah Epigallocatechin Gallate (EGCG), yang dikaji boleh merawat pelbagai jenis penyakit.
Disamping itu, kandungan mineral yang terdapat di dalam teh hijau turut memainkan peranan kepada kesihatan tubuh badan.
Anda dinasihatkan agar memilih teh hijau yang lebih berkualiti jika ingin mendapat semua khasiat dan manfaatnya. Teh hijau yang berkualiti rendah (biasanya lebih murah) mungkin mengandungi kadar fluorida yang berlebihan.

2. Menajamkan Daya Fikiran
Teh hijau bukan sahaja boleh membuatkan anda terjaga, tetapi juga menyumbang kepada perkembangan otak dan daya fikiran.Bahan aktif teh hijau yang memainkan peranan dalam perkara ini adalah, tidak lain tidak bukan: Kafein.
Kafein merupakan sejenis bahan peransang dan biasanya dijumpai di dalam kopi. Teh hijau juga mengandungi bahan ini, namun tidak sebanyak kopi. Tetapi cukup untuk memberikan kesan. Penggunaan kafein dan kesannya kepada otak sudah lama dikaji – hasilnya adalah ia boleh meningkatkan daya otak, memperbaiki mood dan daya ingatan.
Tambahan lagi, teh hijau bukan sekadar mengandungi kafein. Ia juga mempunyai amino asid L-theanine, yang boleh meningkatkan aktiviti pada sistem saraf. Pengambilan kedua-dua bahan ini, kafein dan L-theanine, boleh meningkatkan daya fungsi otak dan menajamkan minda.
Bahkan terdapat laporan yang menyatakan bahawa orang mendapat tenaga yang lebih banyak dan produktif jika minum teh hijau berbanding dengan kopi.

3. Meningkatkan Pembakaran Lemak
Hal ini kerana teh hijau sudah terbukti boleh meningkatkan kadar pembakaran lemak badan dan kadar metabolik. Berikut adalah serba sedikit hasil kajian:
i.Teh hijau meningkatkan kadar penggunaan tenaga sebanyak 4%.
ii.Teh hijau meningkatkan kadar oksidasi lemak sebanyak 17% (hasil boleh berubah mengikut individu)
Kandungan kafein, yang dinyatakan di atas juga memainkan peranan di dalam meningkatkan pergerakan fizikal dan otot. Satu kajian mendapati bahawa kafein boleh meningkatkan prestasi atlet sebanyak 11-12%.

4. Mengurangkan Risiko Kanser
Kanser berlaku disebabkan oleh pertumbuhan sel yang tidak terkawal. Ia merupakan salah satu penyebab kematian diseluruh dunia. Dan kita semua sedia maklum bahawa salah satu faktor kepada kanser adalah radikal bebas. Manakala antioksida adalah bahan yang dikatakan boleh mencegahnya.
Teh hijau merupakan salah satu sumber terbaik kepada antioksida, oleh itu masuk akallah kalau kita menyatakan bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko kanser.
Kanser Payudara: Satu kajian mendapati bahawa wanita yang meminum teh hijau boleh mengurangkan risiko daripada mendapat kanser payudara sebanyak 22%.
Kanser Prostat: Satu kajian mendapati lelaki yang meminum teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat prostat kanser sebanyak 48%.
Kanser Kolon: Satu kajian ke atas 69,710 wanita di China mendapati peminum teh hijua boleh kurangkan risiko mendapat kanser kolon sebanyak 57%.

5. Mencegah Daripada Penyakit Alzheimer dan Parkinson
Bukan sahaja teh hijau boleh meningkatkan daya fikiran anda dalam jangka masa pendek, malah juga melindunginya daripada “tua“. Penyakit Alzheimer merupakan satu jenis penyakit saraf/neuro yang biasa dialami oleh orang berumur. Penyakit ini boleh membawa kepada demensia.
Penyakit Parkinson pula merupakan sejenis penyakit saraf, ia melibatkan kegagalan urat saraf menghasilkan dopamin di dalam otak. Kajian membuktikan bahawa bahan catechin di dalam teh hijau boleh melindungi sistem saraf. Lantas mengurangkan risiko mendapat mana-mana penyakit yang disebut.

6. Teh Hijau Boleh Membunuh Bakteria, Memperbaiki Kesihatan Mulut & Gigi
Selain daripada menjaga sistem saraf dan otak, bahan catechin turut memberikan manfaat dari segi biologi.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa bahan tersebut boleh membunuh bakteria dan virus seperti influenza – maka mengurangkan risiko daripada dijangkiti.
Kajian yang lain pula mendapati bahawa catechin di dalam teh hijau boleh menghalang pertumbuhan satu jenis bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus mutans. Bakteria ini boleh menyebabkan perbentukan plak dan membawa kepada masalah kaviti serta pereputan gigi.
Teh hijau pada masa yang sama, boleh mengurangkan masalah nafas berbau.

7. Mengurangkan Risiko Kencing Manis Tahap 2
Kencing manis tahap 2 merupakan penyakit yang pernah mencapai peringkat wabak pada seketika waktu dahulu. Dan sekarang, hampir 300 juta orang menghidap penyakit kencing manis di seluruh dunia.
Kencing manis, ataupun juga dikenali sebagai diabetes melibatkan kadar gula dalam badan melebihi kadar insulin yang dihasilkan oleh badan atau ketidakupayaan badan menghasilkan insulin.
Kajian telah menunjukkan bahawa pengamalan teh hijau boleh meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan kadar gula dalam darah.
Satu kajian lain yang dijalankan di Jepun pula mendapati bahawa orang yang meminum teh hijau mempunyai risiko sebanyak 42% lebih rendah daripada orang yang tidak meminumnya.

8. Mengurangkan Risiko Masalah Jantung
Penyakit jantung, atau penyakit kardiovaskular merangkumi sakit jantung dan strok merupakan salah satu penyebab kematian di dunia. Dan kajian-kajian mendapati bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko daripada mendapatnya.
Teh hijau boleh membekalkan kadar antioksida yang banyak kepada saluran darah, yang mana boleh mengelakkan kolestrol LDL (kolestrol baik) daripada teroksida.

9. Membantu Menurunkan Berat Badan + Cegah Obese
Memandangkan teh hijau boleh meningkatkan kadar metabolik badan dalam jangka masa yang singkat, ia masuk akal kalau anda ingin mengambil kesempatan ini untuk mengurangkan berat badan.
Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan teh hijau mengurangkan lemak dalam badan, terutama pada bahagian perut.
Walaupun begitu, anda perlu ingat bahawa banyak faktor perlu dititikberatkan dalam hal ini. Ia tidak bermakna anda minum teh hijau dan secara automatik menjadi kurus – tidak. Teh hijau hanya boleh membantu anda mempercepatkan sesetengah proses pembakaran lemak.

10. Boleh Panjangkan Umur
Kematian adalah satu kepastian. Kematian adalah di tangan Tuhan. Itu adalah dua perkara yang kita semua tidak boleh elak.
Cuma cepat atau lambat sesuatu kematian itu juga bergantung ke atas bagaimana kita menjalani kehidupan kita, bagaimana kita menjaga pemakanan kita.
Dengan kenyataan bahawa teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat pelbagai penyakit-penyakit kronik di atas, kita boleh simpulkan bahawa pengamalan teh hijau secara tidak lansung boleh memanjangkan umur kita.
Pengalaman sendiri, sebelum ni liat betul nak minum teh hijau sebab rasanya agak payau. Tips saya, minumlah minuman ini ketika masih panas suam, kerana kurang rasa payaunya. Ada rakan rakan berikan tips perah lemon dan letak sedikit madu dalam teh tersebut jika mahu sedikit perasa.
Saya? Setakat ini masih minum secara biasa, tanpa sebarang tambahan.
Untuk berjimat, saya akan ulang kitar semula uncang teh pada tengah harinya, kemudian bawa pulang ke rumah untuk dibuat skrub badan dan muka. Haha! Jimat betul macamni.
Jika kalian rasa bermanfaat, boleh simpan tips ini dan mulai perlahan lahan bertukar kepada alternatif yang lebih menyihatkan tubuh badan.
(nota : terima kasih kerana sabar membaca tulisan yang panjang berjela ini)

Monday 25 September 2017

Emosi

Saya juga adalah orang yang mudah tewas dengan emosi marah. Sungguh. Jika terlampau panas hati, saya akan bangkit dan berlalu daripada kawasan atau situasi yang membuatkan saya tegang. Masalahnya, dengan iman senipis bawang sekiranya ada yang tak habis habis buat provokasi, kita akan terlepas laku juga kadangkala.

Tertinggikan suara, tercakap bahasa kesat, terungkitkan sesuatu, termenangis, tercampak barang dan sebagainya. Sebagai manusia biasa, saya tahu tahap mana kemarahan itu akan membawa saya. Justeru, apabila sudah tak mampu kawal, sebelum saya lakukan perkara buruk, saya akan berlalu pergi.

Sebagai orang yang normal, begitulah yang kita akan buat. Ya. Berlalu pergi keluar daripada sesuatu tempat itu supaya emosi yang tegang akan pulih kembali. Seperti juga manusia waras lain, semua orang akan buat perkara yang sama rasanya. Kita akan beralah dan berlalu pergi. Apabila sudah sejuk, jika ketegangan itu berlaku antara keluarga, pasangan, kawan sejawat atau siapa saja, walau orang yang buat salah, saya lazimnya mengenepikan hal itu dan akan bertolak ansur dengan memujuk mereka kembali.

Walau salah orang lain sekalipun, tetaplah saya beralah jika lihat orang itu masih tidak mahu beralah dengan saya. Semasa emosi memuncak, saya pun kasar juga lalu apabila sudah sejuk, saya banyak fikir tentang salah saya, berbanding salah orang lain kepada saya. Kerana saya rasa lebih baiklah maafkan saja supaya hidup saya kekal gembira berbanding menahan emosi berdendam sampai bila bila. Nak angkat tangan doakan kecelakaan orang yang lukakan kita pun saya tak sampai hati, mana mungkin saya nak berdendam dan membenci.

Begitu jugalah apabila terdengar kisah kawan rakan tak kira siapa pun, saya akan terusik emosi. Sebab saya juga lalui episod diprovokasi malah tindakan saya dipertikai dan saya dihukumi sesedap hati orang yang memandang. Saya bukan tak tahu orang mengata di belakang, tapi, buat buat pekak sahajalah sebab yang menanggung itu tuan empunya badan lebih tahu seksa sakitnya bagaimana adakah sudah tidak tertahan atau mampu ditelan.

Membaca komen komen orang, mengingatkan kepada kisah lama sendiri, yang ramai betul manusia mahu menjadi juri. Seperti saya selalu kata, jika saya sendiri dahulu makan atau tidak, tak diambil peduli, kenapa perlu saya ambil endah dengan pelbagai persepsi mata yang mengeji?
Perlahan lahan, dengan pengalaman, saya yang tidak kuat ini bangun berjalan. Mahu digagahkan juga diri mengutip sisa sisa kekuatan dalam segenap kelemahan. Saya belajar pujuk diri sendiri, belajar berdikari, belajar fahami, dunia ini tempat diuji malah belajar terima Tuhan tidak pernah aniaya hambaNya.

Benar, ada masa masanya kita kalah dengan emosi, namun jangan putus asa baiki diri. Sehinggalah kita mati. Begitu jugalah orang keliling, hidup kalian mungkin bahagia bagai dalam telenovela, janganlah menghukumi orang lain. Membuat komen berunsur mengeji. Jika kita tak bantu rakan rakan yang kesusahan, mulut, kunci diam diam. Sehingga hari ini, beberapa rakan yang bantu saya serta tawarkan bantuan, saya sentiasa ingat dan kenang malah saya selalu doakan mereka moga moga dimurahkan rezeki dan selalu sihat sejahtera.

Akhirnya yang kita mahu, ialah baik baik sahaja semuanya di syurga. Jika yang beri informasi kepada saya tadi pun menggigil walau tak kenal mangsa, saya yang bukan rakan rapat tapi merupakan rakan sejawat turut terkesan. Menggigil satu badan dan terjelepuk mendengar berita sedih tadi.
Menyatakan sabar kepada tuan empunya badan itu mudah dituturkan. Beri tips perundangan, atau komen si fulan kenapa tak buat laporan polis lindungi diri dan sebagainya memang senang. Namun, yang sudah terjadi itu tak mampu kita baiki. Yang akan datang, tawarkanlah mereka bantuan. Jadilah manusia yang tinggi empati, jangan komen sesedap hati malah doakan , itu lebih baik daripada jadi juri.

Kalian,
Marilah kita berhenti saling mengeji , bina empati dan bersifat ehsan lah dalam diri.

Kakak,
Hari ini Tuhan juga uji melalui jentikan emosi

Tesco

Do not underestimate anak anak kita.

Mereka sebenarnya boleh faham sesuatu maklumat jika kita berikan rasionalnya. Tak kira umur berapapun saya tetap jelaskan kepada mereka the reason why i dont do this and why i do that.
Contohnya, apabila mereka merungut "mama selalu tak bawa shitah ke tesco" setelah dia melihat saya bawa pulang barang dapur dalam beg plastik tesco.

Lalu saya pun beritahu " Mama terus daripada office ke tesco.kalau singgah balik rumah dulu ambil shitah nanti lambat sebab mama nak balik solat. Beli cepat cepat dan balik terus."

Saya dah lama tak berikan alasan atau reka reka alasan untuk buat mereka percaya. Saya hanya terus beritahu rasional kenapa saya buat sesuatu perkara apabila anak anak pertikai.
Dahulu, saya selalu cakap begini "Ala shitah. Sorry. Lepas ni mama bawa k (tanpa niat mahu tunaikan. Dan akhirnya lupa lagi walau anak ingat pada janji)".

Kesan kita memujuk dan mengada adakan alasan adalah sangat buruk. Sejak saya berhenti amalkan, saya dapati anak anak kurang buat perangai, senang dikendalikan dan jarang minta sesuatu yang mereka tahu kenapa saya tidak akan tunaikan.

Ada kalanya juga dia akan mencuba "mama boleh tak kita pi tesco?" dan saya akan bertanya "shitah nak beli apa di sana?" kemudian dia sendiri yang akan buat janji "shitah lama tak pi tesco. Shitah nak jalan jalan ja. Boleh dak mama" Pada waktu begini, saya terus akan buat janji dengannya "kita pi teman mama beli barang studio kat tesco. Tapi mainan semua tak boleh beli ya. Lepas makan kita balik. Shitah kata tadi nak pi tengok tengok ja kan?"

Lazimnya cara ini berkesan. Apabila kita mengawal kemahuan anak anak, dan mereka difahamkan bahawa ada perkara sia sia tak berguna dan hanya merugikan (selalu juga saya beritahu, kenapa tak boleh ke sesuatu tempat tanpa tujuan spesifik antaranya ialah kos minyak, habiskan duit dan masa), mereka lazimnya akan faham - syaratnya kena ulang ulang selalu beritahu.

Disebabkan amalan ini juga, saya sendiri kurang berpeleseran di pasaraya tanpa sebab, dan anak anak juga kurang meminta berpeleseran tanpa tujuan. Ingat, kita yang kawal keadaan. Anak anak lazimnya akan berfikir seperti mana kita bentukkan mereka. Justeru, perlu selalu rasionalkan tindakan anda.

Jangan jemu beritahu kenapa dan perlu tunjuk melalui amalan.

Selamat mencuba!
Mama
Yang jarang jarang sekali bawa anak anak ke pasaraya

Selipar Jepun

Malam semalam, pakhang korek paku kat selipar jepun makhang sambil merungut "hang ni kalau orang tengok aku ni dok buat gheja laguni, orang gelak kat aku. Dari pebaik kereta, jadi tukang kedai hang sampailah selipar hang aku nak kena bertukang bagi. Awatlah Tuhan buat laguni kat aku. Pada aih hat Dia hantaq mai pun la ni"

Makhang pun sengih sengihlah dan janji harini nak beli selipar baru. Ya lah. Bukan mahal pun. Kalau cap ayam di kedai RM2 pun ada jual. Tapi macam biasalah, selagi tak punah, selagi tu lah memakai. Lalu terlupa lagi petang tadi untuk beli ganti selipar semalam yang sudah uzur amat tak boleh digunakan akibat berlubang.

Tapi, semalam makhang sempat jawab sepatah " Ala, bukan sebab duit saya tak mahu beli baru. Bukan semua benda saya nak claim pada kamu. Nanti saya belilah. Cuma keperluan tidaklah mendesak. Lagipula ada kamu, benda apa yang rosak pun boleh elok semula kan?" Diamlah pakhang tanpa menyahut. Dia tahu amat kalau dilayan lagi nanti banjirlah makhang teringat betapa susahnya keadaan makhang sebelum pakhang kutip bela dulu.

Bukan hanya duit ringgit sahaja mampu membahagiakan. Kadangkala mengenang kebaikan pasangan juga perasaan yang mampu menenangkan dan menyenangkan. Hehe.

Jadinya nanti, apabila salah satu daripada kami pergi, moga moga 19 tahun yang telah lama memisahkan itu sebelum bertemu kembali 3 tahun kebelakangan ini berganti dengan kenangan yang abadi, sampai bawa ke mati.

Makhang,
Hari ini teringat betapa Tuhan itu Maha Memakbulkan doa yang pernah dititipkan walau waktu itu tidak diminta bersama nama tuan empunya badan.

"Small Thing Does Matter"



Bila makan, kalau duit duit pecah bawah RM10 ni kakak lah juara nak tolong suakan duit. Maklumlah, memang dalam tangan tiap tiap minggu cuma belanja ikut peruntukan mingguan. Hari Rabu atau Khamis memang tinggal serdak lah kan sebab dah nak hujung minggu. Nak kaya semula tunggu minggu baru bolehlah ambil guna peruntukan baru pula.

Jadinya duit ungu tu claim perbelanjaan kecemasan macam kos ke klinik serta belanja tidak jangka (beli kek dan kfc untuk birthday anak minggu ni).Duit diguna akan pakhang ganti semula sebab duit belanja mingguan hanya untuk belanja biasa dan perbelanjaan luar jangka memang claimable daripada dia.

Sebab tu sekarang, walau tak senang, makhang tak lah susah mana. Syukur jugalah pakhang bukan jenis hati kering bab bab belanja ni.

"Small thing does matter". Tak da gucci prada, benda basic bab keperluan perlu selesai dulu dan boleh diharap - lelaki jenis itu barulah kau boleh bersandar seumur hidup kau dan anak anak.
Tak sweet sweet potong kaki pun tak apa. Asal jangan sampai anak bini dalam rumah dah tak rasa kewujudan kau itu bermanfaat untuk mereka.

Pesan kakak buat lelaki yang ambil ringan tentang nafkah keluarga, kau rasa lepas di dunia, mati nanti berjawab di sana.

(post hari ni kalian yang wanita tak payah nak tag tag sangat laki masing masing. Balik diam diam bincang di rumah sahaja jika ada situasi perlu diselesaikan ok. Jaga maruah suami anda)

Wanita dan perkahwinan

Mendidih dengar ada wanita dalam ketakutan sebab suami taik ganja. Dah kena buang kerja si suami tu dan mertua pula macam daripada neraka. Boleh pulak biarkan masalah tu atas bahu menantu ( si isteri ) seorang menanggung.

Dahlah isteri tu orang jauh datang cari rezeki di negeri si suami tak ada saudara mara dekat, si emak mertua selamba saja jawab " Dulu kami dok ingat dia nak berubah. Bantulah dia kamu tu isterinya. Tak bolehkah susah senang sama sama "

Mengucap panjang kakak dengar berita ni tadi. Rasa nak hempuk kepala sendiri pun ada. Mula kakak pun sibuk sama tanya apa tindakan si isteri tu sekarang ni. Dikhabarkan si isteri dah tak hendak pun kepada si suami. Dah keluar daripada rumah, hantar anak anak balik kampung sekarang diganggu pula di rumah yang beliau tumpang duduk dengan kawan kawan.

Gila orang ni macam macam. Dah banyak kali si suami datang buat meroyan. Kalau dibawanya parang? Yang paling kakak geram bab majikan, boleh pula nasihatkan "sabar dulu sementara nak habis tempoh kontrak supaya boleh dapat duit ganjaran untuk balik kampung mula kehidupan baru" (sebab isterinya tu kakitangan kontrak sahaja).

Kau tu majikan, patut beri sokongan. Boleh bantu syorkan bantuan guaman atau nasihat daripada pejabat agama mudahkan proses perceraian mereka. Nama pun si lelaki tu taik ganja, nak cerai terus fail afidavit tanpa peguam pun tak apa.

Tapi kan, bila cakap isu rumah tangga ni minta maaflah. Kakak, betul betul fade up. Orang dalam office ni mulut luas macam telaga. Tak reti bertutup dan suka sebar berita. Bercerita bukan main di belakang orang, depan , tersengih sengih macam tak ada apa apa, buat lembut lidah apabila bercakap.
Kakak punya geram tadi sampai kakak kata kepada tukang menyampai, suruh orang tu telefon kakak, nanti kakak beri jalan macamana mahu buat untuk selesaikan perceraian. Yalah walau kakak bukan peguam, tapi kadang kala orang kita ni cuma perlukan sokongan dan sedikit keberanian. Takut, diugut, disisihkan keluarga mertua, dipandang serong rakan sekerja, itu perkara biasa. Kita, jangan meratap lama lama. Mari bangkit dan jadi berani demi nyawa kita.

Wanita, perkahwinan, bukan lagi sebuah syurga dunia apabila lelaki kau itu gila.

Monday 29 May 2017

Ketabahan dalam diri hanyalah pinjaman

Tiga beradik ini sedang menunggu feri selepas berjalan kaki daripada stesyen komuter 

Aku belajar macam macam daripada anak anak aku sebenarnya. Dulu, zaman zaman aku belum masuk fasa matang dan guna kepala aku untuk berfikir, aku tak pernah terdetik nak belajar erti tabah seperti mana anak anak aku hadapi dalam hidup mereka.

Ok. Part ni memang buat aku rasa selalu sebak.

Pengalaman hidup membuatkan aku jadi keras. Mungkin lebih bertambah degil dan tidak lagi mahu berkompromi dengan apa jua halangan. Aku sendiri sedar kebelakangan ini sebenarnya aku lebih sukar bertoleransi dalam pelbagai perkara. Yang aku tak setuju, samada aku lawan atau diam terus, elak daripada bergaduh. Yang aku tak puas hati, jika orang tersebut adalah orang yang masih aku tidak putus asa mahu sayang dan hadap setiap hari, aku akan himpun dan luah kembali isi hati aku. Jarang aku simpan walau secara emosinya aku telan remuk itu dalam diri aku.

Apabila aku 'marking' satu satu perkara atau individu yang buat aku tak selesa, samada aku akan terus buang daripada diri aku atau aku akan buat tak kisah. Sebab aku tak mahu tambah dos benci dalam diri aku bergelut mahu mereka terima aku seadanya. Sedangkan aku sendiri tidak mampu terima sifat dan sikap mereka yang tidak semena mena membuat aku rasa jengkel pada persepsi aku.

Tapi apabila bercakap bab anak anak, Perangai aku yang degil, susah mendengar sebarang nasihat (sebab aku 'block' diri aku daripada menerima) malah sikap sikap buruk aku yang kuat mengamuk dan sangat mudah sensisitif dengan persepsi orang lain, semua itu akan 'tone down' (terkawal) dengan mengenang jiwa halus anak anak aku yang kental.

Dalam diam, setiap hari Tuhan beri aku pengajaran agar belajar melalui 3 anak syurga ini. Mereka sangat sedikit mengeluh, kurang bebal walau sedang marah serta selalu menerima dengan hati terbuka setiap apa jua situasi yang mereka hadapi. Mereka boleh berjalan kaki dalam kepanasan sejauh hampir 1 kilometer mendapatkan pengangkutan awam kerana kenderaan yang ada tidak selesa untuk bawa mereka berjalan jauh. Mereka boleh tidak bersungut penat walau kepanasan dan berpeluh berjalan. Mereka juga senang bergembira dan melepaskan penat hanya dengan diberi upah air sejuk sebagai penghilang dahaga. Masih mampu berjenaka dan senyum walau mungkin dalam hati mereka mungkin terdetik kenapa kehidupan mereka tidak selesa anak anak lain seusia mereka.

Ok. Mungkin aku yang beremosi lebih sebab tak pernah buat anak anak aku macamtu sebelum ini. Mereka selalu kena tempias susah yang aku hadapi dalam hidup mereka kerana tak punyai pilihan lain. Tak ada seorang ibu pun yang mahu anak anak mereka hadapi ujian hidup yang mereka hadapi. Jika boleh, mahu telan sendirian tapi tak dapat tidak, sedikit sebanyak akan mereka hadapi kerana kehidupan seharian mereka adalah bersama dengan aku.

Sungguh. Jika ada yang lihat aku kuat, kental dan tabah (bersama pakej degil dan susah menerima sebarang nasihat jika datang dengan cara yang tidak kena kaedahnya), sebenarnya aku meminjam tabah daripada 3 anak syurga aku yang mengajar aku supaya kuat berusaha walau apa jua keadaan menimpa. Kau cuba buka mata dan lihat dunia sekeliling. Belajar daripadanya termasuk daripada anak anak kau sendiri. Kau pasti akan jumpa sebab kenapa kau masih mampu bertahan dalam dunia ini sementara menunggu mati.